7/14/10

Perpecahan punca Islam terus ditindas

BEBAS beragama dalam erti kata melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, adalah antara nikmat terbesar bagi umat Islam di Malaysia. Hakikatnya, kita di Malaysia tidak perlu rasa bimbang atau curiga untuk beribadat di masjid atau surau pada bila-bila masa.
Malangnya, dalam keterbukaan itu, berlaku cubaan-cubaan untuk menjadikan masjid dan surau sebagai ‘gelanggang berpolitik’. Natijahnya, berlakunya label melabel dan berpuak-puak yang akhirnya menyebabkan masjid yang antara fungsinya untuk menyatukan umat bertukar kepada tempat bermasam muka dan perpecahan. Sedangkan Allah menegaskan supaya umat Islam bersatu-padu dan jangan berpecah-belah.
Ia sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (ali-‘Imran: 103)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ZHAFARAN NASIB menemu bual Pengerusi Rancangan Pengajian Islam, Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Mohd. Farid Mohd. Sharif bagi mengupas isu ini.
Mega: Dalam al-Quran di atas Allah menjelaskan kepentingan jangan berpecah-belah. Malangnya, akhir-akhir ini, umat Islam dilihat sudah berpecah akibat perbezaan ideologi politik. Apakah natijahnya jika hal ini berlarutan?
DR. FARID: Kepentingan perpaduan umat Islam jelas dapat dilihat menerusi firman Allah dalam surah ali-‘Imran tadi.
‘Nikmat’ yang dimaksudkan oleh Allah menerusi ayat tersebut ialah Islam. Allah menyebut Islam itu sebagai nikmat yang membuatkan manusia itu bersaudara dan bersatu padu.
Oleh itu, menolak atau merosakkan perpaduan boleh dianggap seperti menolak rahmat Allah. Allah telah menjanjikan kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan akhirat kepada mereka yang mementingkan ikatan persaudaraan dan menjauhkan persengketaan.
Sejarah perpecahan umat Islam bermula sejak awal lagi, iaitu pada tahun 37 Hijrah, dalam Perang Siffin, perang saudara yang pertama dalam sejarah umat Islam, antara kumpulan Ali dengan kumpulan Muawiyah.

No comments:

Post a Comment

Jom kelik