7/14/10

Malaikat pencatat amalan manusia

Setiap makhluk di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada dihisab oleh Allah SWT. - Gambar hiasan
________________________________________

SETELAH Allah SWT menerangkan bahawa antara tanda-tanda kurnia-Nya kepada manusia adalah penciptaannya dalam bentuk yang terbaik. Perkara itu menunjukkan bahawa manusia akan menempuh kehidupan lain selain kehidupan sekarang.
Di sana nanti mereka akan diberi balasan atas segala yang pernah dikerjakan sama ada baik atau buruk. Selanjutnya Allah SWT menjelaskan seseorang tidak akan menolak kebenaran melainkan kerana adanya sikap menentang dan mendustakannya. Perasaan hati membisikkan kebenaran itu dan dalil agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW menguatkannya.
Allah SWT tidak akan membiarkan satu amalan pun daripada amalan hamba-Nya, melainkan Dia akan menghitung dan memelihara untuk diberi balasan. Tugas mencatat segala amalan manusia ini telah diserahkan oleh Allah kepada para malaikat yang dilantik khusus.
Firman Allah SWT: Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. Syed Qutb berkata: “Kamu tidak percaya kepada hisab dan balasan. Inilah punca kekeliruan dan kecuaian kamu terhadap Allah. Apabila hati mendustakan hisab dan balasan, maka ia tidak akan berdiri tegak di atas hidayah, kebaikan dan ketaatan. Kadang-kadang hati itu meningkat ke darjat yang tinggi dan luhur lalu ia taatkan Tuhannya dan beribadat kepada-Nya semata-mata kerana cintakan-Nya bukan kerana gentar kepada balasan seksa-Nya dan bukan tamakkan pahala dari-Nya tetapi tetap percaya kepada Hari Balasan dan menaruh perasaan takut kepadanya. Ia menunggu kedatangan hari itu untuk menemui Tuhan yang amat dicintainya. Tetapi apabila manusia tidak mempercayai hari Balasan, ia tidak taat kepada Tuhan-Nya dan hatinya tidak akan tenang selagi tidak mendapat hidayah.”
Firman Allah SWT: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
Ibnu Kathir berkata: “Dan sesungguhnya pada kalian ada malaikat yang sentiasa menjaga dan mengawasinya. Oleh yang demikian, janganlah kamu membalas mereka dengan perbuatan buruk, dan sesungguhnya mereka akan menulis semua amal perbuatan kamu.”
Al-Maraghi berkata: “Kita tidak diwajibkan untuk mencari Malaikat Hafazah atau mengetahui daripada bahan apa mereka dicipta, bentuk perbuatannya atau cara memelihara dan mencatatnya. Apakah memakai kertas dan pena atau papan tempat menulis amalan atau apakah mereka itu sebangsa roh dengan jelas melihat perbuatan manusia sehingga mengetahui kesan dan tulisan yang terdapat di kertas. Semua itu tidak termasuk dalam kewajipan kita untuk mengetahuinya tetapi yang wajib bagi kita hanyalah beriman kepada kebenaran berita itu dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT.”
Firman Allah SWT: (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurga yang penuh nikmat.

No comments:

Post a Comment

Jom kelik